Isu ini mungkin berbangkit setelah dunia menyaksikan seorang presiden bagi kuasa besar dunia Amerika Syarikat (AS) adalah Barack Obama. Ini kerana Obama dikaitkan dengan keturunan Afrikan-Amerikan yang dari keturunan beragama Islam, tetapi bapanya bertukar agama kepada Kristian. Selain itu, beliau pernah tinggal di Indonesia dan berkahwin dengan seorang kulit putih beragama Kristian serta seorang kepimpinan generasi pertama dalam era globalisasi.
Apa pun telahan tentang diri Obama yang pasti beliau merupakan seorang presiden yang menang pilihan raya atas kekuatan kempen berteraskan teknologi internet dan komunikasi pantas. Kempennya pasti juga mendapat dokongan kuat kumpulan berkepentingan yang menjadi kuasa penentu kemenangan beliau. Kumpulan yang dimaksudkan adalah masyarakat Yahudi Amerika yang menguasai sebahagaian besar medan perniagaan dan perdagangan serta pentas pentadbiran kerajaan.
Pemilihan Obama
Sebelum dipilih sebagai presiden, beliau merupakan senator muda bagi Illinois. Beliau mencipta sejarah perjalanannya ke Rumah Putih bermula selepas beliau mengumumkan hasrat bertanding presiden pada 10 Februari 2007 di Springfield, Illinois.
Kemudian pada 27 Ogos 2008 beliau disahkan sebagai mewakili Parti Demokrat untuk pilihan raya presiden 2008. Turut dinamakan ialah Senator Joe Biden dari Delaware selaku naib presiden berpasangan dengan Obama. Sementara parti lawannya Parti Republikan telah menamakan calon presidennya, Senator John McCain dari Arizona yang berpasangan dengan Gobenor Alaska, Sarah Palin selaku naib presiden.
Selepas kempen berjalan dan pada 4 November 2008, Obama telah menang pilihan raya presiden dan menjadikannya “the first African American” dipilih sebagai Presiden AS. Di samping Obama juga merupakan senator yang ketiga telah dipilih sebagai presiden selepas Warren G. Harding dan John F. Kennedy.
Rahsia menang
Antara rahsia kemenangan Obama adalah kekuatan strategi kempennya yang menggunakan teknologi internet yang mampu mengakses para pengundi muda, khususnya first-time voter. Hasilnya Obama telah mencapai rakan internet lebih 3.5 juta orang menerusi ruang facebook, Menerusi manfaat ruang internet itu, Obama bukan sahaja mencapai kempen pengundi, malah turut memperolehi dana bagi pembiayaan kempen pilihan rayanya. Menariknya di sini, Obama telah menggunakan internet secara internet kelas atasan bagi strategi pemasaran kempennya (a top-class internet marketing strategy).
Obama tetap popular
Tinjauan sebuah pusat penyelidikan di AS mendapati 18 peratus percaya Obama adalah seorang Islam, iaitu meningkat daripada 11 peratus pada Mac 2009. Diikuti satu lagi kajian oleh Majalah Time, mendapati kepercayaan itu meningkat lagi kepada 26 peratus selepas timbulnya cadangan menubuhkan kompleks Islam dan masjid berdekatan Zero Ground (bekas bangnan WTC yang dibom).
Hanya satu pertiga rakyat Amerika yang ditinjau menganggap Obama Kristian, penurunan mendadak daripada 48 peratus yang mengatakan beliau seorang Kristian pada 2009. Bagaimanapun, tinjauan pendapat Gallup tetap mengesahkan Obama masih popular walaupun ada yang skeptik mengenai status agamanya. Bagi golongan Muslim dan Yahudi, masing-masing tetap menyokong Obama, walaupun sokongan terhadapnya jatuh di kalangan penganut agama lain. Namun, fakta Obama kuat menyokong Yahudi memang terbukti ketika perjalanan kempen untuk memenangi jawatan presiden. Beliau disahkan secara bergambar turut hadir melakukan upacara ibadat Yahudi di Hall of Remembrance, Yad Vashem Holocaust Memorial di Jerusalem pada hari Rabu, 23 Julai 2008 dan bertemu Master Jew dengan memakai Yarmulke, pakaian lebai Yahudi ketika melakukan ritual Yahudi pada dinding Monument Jew.
Apa yang pasti semua kajian/tinjauan dibuat adalah ketika Obama sedang menghadapi kontroversi berhubung rancangan untuk membina sebuah pusat Islam berdekatan Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang musnah dalam serangan pada 11 September 2001. Sudah pasti ia bakal menambahkan keyakinan dan gerunnya masyarakat AS kepada amaran kemungkinan teori S. Huntington mengenai kebangkitan Islam bakal berlaku dan mengancam kuasa Barat.
Obama penerus dasar Bush
Bahkan tema kempen Obama yang menganjurkan perubahan semasa pilihan raya tidak pun mengubah dasar asas AS dalam menangani negara-negara dunia, terutama negara umat Islam. Fokus utama dasar AS terhadap negara umat Islam ialah dasar memerangi keganasan.
Selepas era perang dingin Timur Barat dengan blok timur diwakili Kesatuan Soviet, AS menumpukan pula kepada dasar-dasar perluasan pengaruh politik, ekonomi dan menangani negara-negara umat Islam. Justeru Obama yang menjanjikan perubahan sebenarnya tidak mampu melakukan perubahan itu. Apa yang berlaku beliau mewarisi legasi ditinggalkan Bush dan meneruskan dasar-dasar hampir sama terhadap negara-negara umat Islam seperti kezaliman Bush ke atas negara umat Islam.
Suhaimi Mokhtar seorang perunding media di Kuala Lumpur (dalam Sinar Harian), mengulas realiti Obama adalah penerus atau masih mewarisi dasar Bush yang mahu menukarkan rejim negara umat Islam seperti dilakukan ketika menumbangkan pemerintahan Taliban di Afghanistan dan menjatuhkan rejim Saddam Hussien di Iraq.
Apa yang nyata, ia turut menjayakan agenda ekonomi politik menerusi peperangan, kononnya menyebar demokrasi, tetapi mengaut kekayaan minyak dan menjual senjata sambil menjajah bumi dan psikologi umat di negara berkenaan.
Di sebalik dasar, “kamu bersama AS atau tidak” Obama seperti polis dunia, Mana-mana negara umat Islam yang sebulu dan sanggup bersekongkol dan bersama AS, tidak perlu dilakukan penaklukan. Imperialisme sudah berlindung di sebalik demokrasi dengan dasar tukar rejim ini juga cuba dilaksanakan di Iran, tetapi setakat ini AS masih gagal. Apa yang dilakukan ke atas Iran ialah menyerang dengan perang psikologi semasa pilihan raya presiden Iran dengan mencemuh Mahmoud Ahmadinajed.
Namun, set berfikir rakyat dan pemimpin Iran tidak mudah termakan gerak saraf AS. Isu persenjataan nuklear sebenarnya pengkayaan uranium dan menyebabkan kebencian melonjak rakyat Iran ialah terhadap keganasan Israel yang dibela oleh AS. Gerak saraf agar membenci pendekatan Ahmadinajed sudah bertukar kepada terus bermusuh dengan AS. Oleh itu, AS sedia mengambil sikap berhati-hati terhadap Iran, tetapi tidak menolak kemungkinan untuk melakukan serangan bersenjata terhadap Tehran.
Penyatuan Islam di AS
Sebahagian penduduk Islam AS sudah memberi perhatian kepada rancangan pembinaan sebuah pusat Islam dan masjid berhampiran Ground Zero. Kesannya muncul gerakan anti-Islam. Justeru kini umat Islam AS mula bersatu selepas mendapati maruah Islam mereka ‘diserang’ dengan ancaman membakar kitab al-Quran dan beberapa siri demonstrasi.
Satu sidang kemuncak pertubuhan-pertubuhan Islam telah diadakan pada 18-19 September lepas di New York bagi membincangkan tentang kedua-dua projek tersebut. Antara pertubuhan yang menyertai sidang kemuncak tersebut adalah Pertubuhan Islam Amerika Utara, Lingkungan Islam Amerika Utara, Gabungan Islam Amerika Utara dan Majlis Hubungan Islam Amerika.
Atas kesedaran itu, muncul ramai orang Islam AS bersikap seperti Shaik Ubaid dari Majlis Kepimpinan Islam Metropolitan New York yang meyakini projek tersebut dialu-alukan rakyat AS beragama Islam, malah turut disokong oleh pelbagai pertubuhan-pertubuhan Islam di AS. Menurut Ubaid, “kami tidak mempunyai pilihan lain, selain menyokong Imam New York, Feisal Abdul Rauf yang mengetuai rancangan pembinaan masjid dan pusat Islam tersebut.”
Persoalannya, apakah penyatuan umat Islam AS itu akan disambut secara menyeluruh oleh umat Islam di serata dunia? Ia sesuatu yang belum pasti, kerana masih ramai pemimpin dari negara Islam sanggup menjadi pengampu Obama di pentas-pentas perhimpunan antarabangsa.
Jika demikian, elaklah daripada menyakini dan memberi harapan kepada Obama untuk menaungi umat Islam. Selagi mana umat Islam AS tidak menzahirkan keyakinan tinggi kepada Obama, maka Obama bukannya pemimpin yang patut dimuliakan.
Perintah Allah
Umat Islam sewajarnya jangan mudah terpedaya dengan lakonan Obama, kerana ia suatu sandiwara untuk mengukuhkan kuasa keduniaan. Jika umat Islam asyik dengan alunan dunia, katakan ia bukan penyelamat hakiki. Firman Allah SWT (Ali-Imran 3:185-186)
Bermaksud, “…dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya (185) Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu dan demi sesungguhnya, kamu akan mendengar dari orang-orang yang telah diberikan Kitab dahulu daripada kamu dan orang-orang yang musyrik: Banyak (tuduhan-tuduhan dan cacian) yang menyakitkan hati. Dalam pada itu jika kamu bersabar dan bertakwa, maka sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang dikehendaki diambil berat (melakukannya) (186).
Seruan Nabi
Demikian pula, kuasa AS menerusi agenda penjajahan dan menukar rejim hakikatnya adalah bercanggah dengan maksud hadis Nabi SAW, diriwayatkan Abu Daud maksudnya: “…apakah itu penyakit hati, ya Rasulullah? Baginda menjawab, kecintaan yang sangat kepada dunia dan takut mati.”
Seterusnya amaran Rasulullah SAW kepada pencinta dunia sebagaimana hadis diriwayatkan ath-Thusi maksudnya: “Cinta yang sangat terhadap harta dan kedudukan, dapat mengikis agama seseorang.”
Meskipun begitu, kepentingan harta untuk menegakkan agama adalah penting dan perlu. Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita menerusi hadis diriwayatkan Ath-Thabrani maksudnya: “Pada akhir zaman kelak manusia harus menyediakan harta untuk menegakkan urusan agama dan urusan dunianya.”
Rumusannya, perjuangan sebenar umat Islam mestlah berpandukan keagungan al-Quran dan kepimpinan Rasulullah SAW. Obama hanya seorang pemimpin kuasa besar dunia. Hakikatnya umat Islam mestilah berdikari bagi mencari dan memiliki harta yang banyak untuk menguruskan agamanya. Dunia Islam adalah kaya dengan pelbagai sumber anugerah Allah, antaranya minyak dan gas serta pelbagai jenis galian. Yakinlah dengan kekuasaan Allah SWT. Jaga dan milikilah kekayaan itu, demi mengukuh tanggungjawab umat Islam bagi menegakkan hak Allah di muka bumi ini. Bertakwa dan bertawakallah kepada Allah SWT ke arah membina iman yang sejati. Sesiapa yang menolong menegakkan agama-Nya, maka Allah akan meneguhkan istiqomah ke mercu kejayaan. Semoga Allah SWT memudahkan kekuasaan umat Islam tanpa bernaung di bawah mana-mana kuasa manusia, mahupun negara bangsa (nation state).
[Dipetik daripada Harakah Daily]
December 28, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment