Mencintai Rasulullah s.a.w
Oleh KETUA EDITOR
Bulan Rabiulawal Tahun Gajah mengingatkan kita akan kelahiran Nabi besar junjungan kita Muhammad s.a.w. Justeru kita memperingati Maulud Nabi s.a.w untuk mengungkapkan rasa kasih yang tidak berbelah bahagi kepada Rasulullah s.a.w yang tercinta.
Perayaan atau peringatan Maulid yang disambut pada bulan Rabiulawal adalah sebagai pernyataan daripada cinta Muslim kepada Nabinya. Sejarah mencatat bahawa asal mulanya perayaan ini diadakan pada abad keempat Hijrah setelah tentera salib menyerbu Palestin yang ketika itu terletak dalam kekuasaan umat Islam. Kemenangan ini disambut dengan perayaan Hari Natal secara besar-besaran. Lantas bagi mengembalikan kembali semangat umat Islam yang kian luntur itu, maka diadakan perayaan Maulid Nabi. Setelah 200 tahun lamanya dijajah, akhirnya tentera salib berjaya diusir dari Palestin di bawah pimpinan Salahuddin Al-Ayyubi.
Nabi Muhammad s.a.w adalah seorang di antara manusia yang teragung yang dikenal oleh sejarah peradaban manusia. Dari perspektif agama Islam, Nabi Muhammad s.a.w. adalah Rasul utusan Allah s.w.t yang menjadi ‘pemberi peringatan’, mula-mula bagi bangsa Arab, dan kemudian bagi seluruh umat manusia.
Umat Islam dituntut bukan hanya untuk menghayati ajaran baginda, tetapi juga memantapkan cinta dan penghargaan di atas jasa-jasa serta pengorbanan baginda menegakkan syiar Islam. Justeru kerana jasa dan pengorbanan Rasul, serta atas dasar pemberian hak penghormatan itulah, sehingga Allah s.w.t dan para malaikat mencurahkan rahmat dan memohon maghfirah untuk baginda serta menganjurkan umat Islam untuk menyampaikan selawat dan salam sejahtera kepada Nabi Muhammad s.a.w. serta keluarga baginda.
Mengingati Rabiulawal, bulan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w pada tahun ini (bersamaan pada 9 Mac 2009) seharusnya benar-benar menjadi titik tolak kesedaran umat Islam di negara ini bagi memperkukuhkan perpaduan serta meningkatkan iman, takwa, dan amal salih. Kita imbas dan gali kembali perjuangan Rasulullah s.a.w dengan niat mencontohi dan mempraktikkannya dalam kehidupan sehari-hari.
Terlalu banyak untuk diperkatakan tentang keagongan dan keprihatinan Nabi Muhammad s.a.w yang menjadi teladan bagi semua peringkat manusia. Baginda adalah sebaik-baik makhluk Tuhan seluruh alam.
Perayaan yang kita sambut adalah sebagai bukti cinta, iaitu kenikmatan menyebut nama orang kita cintai. Dalam satu peristiwa setelah Nabi s.a.w wafat, Bilal tidak mahu lagi mengumandangkan azan. Bagaimanapun, setelah didesak oleh orang ramai termasuk Sayidatina Fatimah r.a (semoga Allah merahmatinya), akhirnya Bilal kembali melaksanakan tugasnya.
Ketika azan dikumandangkan dan sampai kepada kata “asyhadu anna Muhammad…” suara Bilal terhenti. Kemudian suaranya tersekat-sekat dan beliau menangis semahu-mahunya.
Nama “Muhammad” kekasih yang baru saja kembali kepada Rabbul Izzati, menggetarkan jantung Bilal. Bagi Bilal, beliau berhenti mengumandangkan azan kerana nama itu mengingatkan beliau kepada kehilangan besar kepada seluruh umat Islam.
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Orang yang paling dekat dengan aku hari kiamat adalah orang yang paling banyak membaca selawat ke atasku.”
Dalam pada kita merayakan Maulidur Rasul bagi tujuan membangkitkan kecintaan kepada Rasulullah s.a.w, jangan pula kita melakukan perkara-perkara mungkar yang akan merosakkan suasana perayaan tersebut.
Umat Islam dituntut bukan sekadar untuk menghayati ajaran Rasulullah s.a.w tetapi memantapkan rasa cinta dan penghargaan atas jasa-jasa serta pengorbanan yang tidak ternilai.
Sesungguhnya Allah s.w.t dan para malaikat mencurahkan rahmat dan memohonkan maghfirah untuk Nabi s.a.w serta menganjurkan umat Islam untuk menyampaikan selawat dan salam sejahtera kepada baginda dan keluarga baginda.
Keluhuran budi Nabi s.a.w bukan hanya dinyatakan oleh Allah dan diyakini umat Islam, berdasarkan firman Allah yang bermaksud:
“Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang sangat-sangat mulia,” malahan diakui oleh kawan dan lawan.
Malah ketika diminta untuk mengutuk, Nabi s.a.w membalas, yang bermaksud: “Aku bukan diutus sebagai pengutuk, tetapi aku diutus untuk mengajak kepada kebaikan dan penyebar rahmat.”
Sifat kasih sayang Nabi s.a.w terhadap sesama makhluk tidak akan ditemui pada seorang manusia pun yang lebih tinggi rasa kasih sayangnya, lemah-lembutnya serta perbuatan atau amal baiknya kepada makhluk Tuhan.
Allah menegaskan dalam firman-Nya yang bermaksud:
“Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya aku adalah Pesuruh Allah kepada kamu semua. Tuhan yang mempunyai kerajaan langit dan bumi. Tidak ada Tuhan selain daripadaNya, Yang menghidupkan dan Yang mematikan. Sebab itu, hendaklah kamu beriman kepada Allah dan Utusan-Nya, nabi yang ummi yang percaya kepada Allah dan perkataan-perkataan-Nya. Ikutlah dia supaya kamu mendapat petunjuk.” (Al-A’raaf: 158)
Keagungan Nabi s.a.w menjadikan baginda sebagai teladan yang terbaik sekali gus sebagai pembawa berita gembira dan pemberi peringatan. Baginda menziarahi orang-orang sakit, bersama-sama mengiringi jenazah dan memenuhi undangan walaupun daripada seorang kanak-kanak.
Kesopanan dan kesantunan baginda terhadap orang kebanyakan dan sikap yang terpuji yang baginda tunjukkan terhadap orang-orang yang sombong menyebabkan baginda dihormati dan disanjung tinggi.
Dalam kesibukan baginda memimpin, baginda sentiasa menerima sesiapa pun yang datang dengan tangan terbuka dan berlapang dada walaupun seorang Badui yang kasar sifatnya.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud:
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu orang yang sentiasa mengharapkan keredaan Allah dan balasan baik hari akhirat.” (Al-Ahzab: 21)
Selawat dan salam ke atas Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w.
No comments:
Post a Comment