April 25, 2009

AL-QURAN ITU BANYAK KELEBIHAN....



Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah swt kerana dengan keizinanNya jua dapat kita berjumpa di alam siber - satu alam zahir yang hanya transparent (zahir) bagi pemilik internet. Rencana atau koleksi tazkirah ini insyallah boleh dijadikan sumber rawatan di tengah-tengah kesakitan rohani yang dialami oleh umat dewasa ini.

Isi kandungan tazkirah ini bukanlah berdasarkan pendapat sendiri malahan saya petik dari pelbagai sumber termasuk Al-Quran, Hadith serta kita-kitab ulamak serta petikan kuliyah yang dihadiri. Dalam Islam sebenarnya sudah tercerna lengkap dengan pelbagai rumusan dan cara rawatan bagi mengatasi masalah kegawatan jiwa dan sebagainya. Ini tidak didapati dalam agama-agama lain yang sibuk bertungkus lumus mencipta teori dan ism untuk mengubat jiwa seperti kaedah yoga, menelan pil, dadah, menonton wayang/tv/video, berkreasi di hutan lipur, memanjat gunung, mengadakan konsert dan pelbagai aktiviti rakan dsb; padahal itu hanya menyesat dan menambahkan kerosakan jiwa yang lebih gawat.

Jalan keluar bagi semua kekalutan ini ialah melalui Islam yang syumul dan lengkap dari awal hingga akhir dunia. Nabi Muhammad saw sudah menggariskan mereka yang berpegang dengan 2 pusaka yang ditinggalkannya tidak akan sesat selama-lamanya. Kedua-dua sumber itu ialah Al-Quran dan Hadith.

Jelas, bahawa Al-Quranulkarim adalah alat penyembuh dan pencuci roh teragung yang mampu menggilap semula jiwa manusia untuk kembali ke jalan lurus yang diredhai Allah. Inilah ubat yang hampir pupus dan dilupakan oleh masyarakat modern hari ini sehingga mereka mencari ubat-ubat lain yang bukan menjadi penawar malah menghancurkan kemanusiaan itu sendiri. Ubat yang dijumpai adalah racun pada hakikatnya.

Tazkirah kali ini akan memfokuskan tentang perlunya kita (terutama diri saya sendiri) supaya bermuzakarah dengan Al-Quran sehingga tilawah Al-Quran menjadi budaya yang mampu merubah atau meruntun perjalanan hidup sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan rasulNya.

Kepentingan Al-Quran:

* "Sesungguhnya hati-hati berkarat seperti berkaratnya besi. Sahabat-sahabat bertanya bagaimana untuk mensucikannya, ya Rasulullah? Baginda menjawab, dengan membaca Al-Quran dan mengingati mati." - Hadith
* "Yang terbaik di antara kamu ialah mereka yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya." - Hadith
* "Ahli Quran ialah Ahlullah"
* "Bacalah Al-Quran. Kamu diberi pahala dengan setiap bilangan huruf yang dibaca." - Ibnu Mas'ud
* "Tiap-tiap ayat di dalam Al-Quran adalah satu darjat di dalam syurga dan satu lampu di dalam rumahmu." - Amr ibnul 'As
* "Rumah yang dibacakan Al-Quran nescaya lapanglah penghuninya, luas kebajikan, masuklah malaikat dan keluarlah syaitan. Rumah yang tidak dibacakan Al-Quran, sempitlah penghuninya, sedikitlah kebajikan, keluarlah malaikat dan masuklah syaitan" - Abu Hurairah

Zaman ini, hati manusia sentiasa terdedah dengan kekotoran disebabkan maksiat yang dilakukan. Setiap maksiat membawa kepada dosa dan setiap dosa akan menambah setompok titik hitam di dalam hati nurani dan menjadikan ia gelap hingga sukar melihat jalan kebenaran. Apabila tompok-tompok hitam sudah memenuhi sebahagian besar hati, maka yang benar (haq) dilihat sebagai salah (batil) dan yang salah (bathil) dipandang sebagai benar (haq). Maka ketika itu kompas hidup sudah tidak berfungsi lagi. Syaitan bermaharajalela menunggang diri membawa ke mana saja yang dihajatinya. Hati kita juga tidak terlepas daripada kekotoran ini dan memerlukan penyucian sebagai persiapan untuk berdepan dengan malaikat Munkar-Nakir dan lebih-lebih lagi hebat semasa berdepan dengan Allah Rabbul-Jalil di hari kiamat nanti. Salah satu cara menyuci hati ialah dengan membaca Al-Quran.

Islam dari dulu lagi menganjurkan umatnya supaya membaca Al-Quran, menganalisa atau meneliti kandungannya serta mengamalkan apa yang dibaca. Generasi awal sungguh gemar dan giat membaca, malah ada yang mengkhatamkan 30 Juz Al-Quran setiap hari, seminggu sekali atau sebulan 2 atau 3 kali. Sungguhpun begitu mereka tetap bergiat dengan kerja-kerja dunia serta maju di dalam pelbagai bidang kehidupan. Musuh Islam memandang potensi yang ada di dalam Al-Quran dan cuba menghalang umat Islam daripada membacanya. Lantas direka pelbagai cara media massa (audio dan video) untuk melalaikan mereka. Akhbar, majalah hiburan, radio, televisyen, video, filem, komputer dan akhir-akhir ini internet direka dan dieksploit untuk merosakkan budaya Islamik yang diterapkan oleh Al-Quran. Ternyata strategi mereka mengena. Akhir-akhir ini kita lihat umat Islam dilekakan dengan TV, radio, komputer, tayangan gambar, majalah hiburan dan sebagainya. Umat Islam semakin renggang dengan Al-Quran. Akhbar harian menjadi ketagihan. Mereka mampu membaca akhbar dari kulit ke kulit dua hingga tiga kali sehari tapi tidak mampu membaca walaupun sehelai atau satu ayat daripada Al-Quran. Mereka mampu duduk berjam-jam di depan set TV tapi tak mampu menghadap tok guru mengajar Al-Quran. Inilah penyakit masyarakat Islam hari ini.

Kita perlu kembali kepada Al-Quran dan menjadikannya sebagai amalan hidup. Kalau tidak mampu membaca huruf Jawi, perlulah terlebih dulu mempelajarinya. Amat malang generasi kini yang bukan saja buta Al-Quran tetapi buta huruf Jawi yang menjadi perantaraan Al-Quran. Anak-anak murid dulu memang diasuh dan diajar dengan tulisan Jawi tapi malangnya sejak di'haram'kan pendidikan jawi di sekolah oleh seorang 'talibarut' musuh, ramai di antara kita sekarang tidak dapat membaca kita-kitab lama yang bertulisan Jawi. Malang sekali disebabkan tidak mengenal huruf Jawi, lantas Al-Quran diperjauhi dan dipermusuhi.

Ada beberapa perkara yang harus diperhati semasa membaca Al-Quran. Di antaranya:

* suci dari hadas (besar atau kecil)
* duduk menghadap kiblat
* dibaca dengan tertib, tartil dan bertajwid
* memelihara hak-hak ayat
* disunatkan menangis semasa membaca terutama apabila sampai ayat ancaman dan amaran
* dinyaringkan supaya sekurang-kurangnya kedengaran oleh dirinya sendiri

Antara amalan-amalan batin yang perlu diperhatikan:

* merasakan keagungan Al-Quran dan memikirkan maknanya satu persatu
* menghadirkan kebesaran Allah di dalam hati
* khusyuk semasa membaca
* fahamkan makna yang dibaca
* berfikiran tenang

Di samping itu, jika dapat jadikan wirid harian/mingguan membaca surah-surah utama seperti Surah Yasin, Al-Mulk, Al-Waqiah, Ad-Dukhan dan sebagainya.

Apa yang istimewa dalam tilawah ialah sungguhpun berulang-ulang kali dibaca ayat-ayatnya, seseorang tidak berasa jemu malahan semakin terasa akan kehebatan dan kelazatannya seolah-olah sedang berkomunikasi dengan Allah. Amat benarlah firman Allah "Sesungguhnya orang yang beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah hatinya menjadi takut gementar dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Allah, bertambahlah keimanannya dan mereka bertawakkal kepada Allah."

Pada peringkat permulaan mungkin agaknya sukar untuk membaca dan mengkhatamkan Al-Quran. Sungguhpun begitu jangan pula tinggalkan langsung sesuai dengan kata orang tua-tua 'kalau tak mampu buat semua, jangan pula tinggalkan semua'. Mulakanlah sedikit demi sedikit. Insyaallah apabila kelazatan membaca sudah menebal, kemampuan untuk membacanya akan bertambah. Insyallah doa dan hajat kita akan dimakbulkan Allah. Hati akan berjinak-jinak dengan kalimah Allah dan berusaha mendengarnya melalui kaset-kaset atau CD Al-Quran yang terdapat di pasaran. Malahan dalam internet terdapat banyak tapak yang menyediakan ruangan Al-Quran secara audio. Mendengar Al-Quran juga diberikan pahala kerana Nabi saw pernah bersabda "Barangsiapa mendengar suatu ayat dari Kitab Allah (Al-Quran), nescaya ayat itu menjadi nur baginya pada hari kiamat."

Marilah sama-sama kita mengubah cara hidup kita yang berhobikan hiburan dan material semata-mata kepada hobi mendengar dan membaca Al-Quran. Kurangkan masa membaca akhbar dan gantikan masa tersebut dengan membaca Al-Quran. Semoga hendaknya Allah matikan kita di dalam iman dan menghembuskan nafas terakhir dengan bibir yang masih basah berkumat-kamit melafazkan ayat-ayat suci Al-Quran. Amin.


1

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 

Copyright © 2011 Reserved to RangkaianIslam.Com
Design with love by CikBulat